a:hover color:#FF6699; background:url http://dl5.glitter-graphics.net/pub/590/590935ankbyj1xx4.gif ;background-repeat: repeat; text-decoration:underline;

Search This Blog

Monday, February 24, 2014

Dosa lalu tidak perlu dibongkar

Setiap manusia selain nabi dan rasul tidak terjamin selamat daripada berbuat dosa dan maksiat. Malah mereka terdedah kepada dosa setiap hari. Buktinya kenyataan hadis daripada Anas:
Maksudnya: Daripada Anas r.a dia berkata Rasulullah SAW bersabda: “Semua anak Adam berdosa, maka sebaik-baik orang yang berdosa ialah bertaubat.” (Riwayat Ahmad)
Realitinya di dalam rumah sendiri, suami berdosa dengan isteri begitu juga sebaliknya. Kemudian sebaik sahaja melangkah keluar daripada rumah ke tempat kerja misalnya, mata sudah melihat aib orang lain dan secara sepontan pula lidah menuturkan kata nista terhadap orang itu. Memang benar, dosa sering dicetuskan manusia. Selain itu dalam perjalanan ke tempat kerja banyak lagi dosa yang boleh dilakukan tanpa sedar. Marah orang yang memotong keretanya, sanggup dia memaki orang itu. Sementara di pejabat, umpat dan fitnah boleh berlaku dengan mudah apatah lagi pada waktu berehat di kantin, banyak cerita yang boleh dihasilkan.
Walaupun sesetengah dosa-dosa itu termasuk dalam kategori dosa kecil, kita tidak boleh mengambil sikap “tidak kisah” kerana sikap mengecilkan dosa kecil akan menjadinya dosa besar pula. Begitu juga dengan perkara makruh, jika dilakukan secara berterusan boleh menjadi haram dan berdosa. Menyedari hal ini mereka seharus bertaubat.

Dosa yang diabaikan
Selalunya dosa yang kita lakukan sama ada terhadap Allah mahupun manusia, dibiarkan begitu sahaja tanpa rasa berdosa dan hendak bertaubat. Pada mereka enjoy dulu kerana usia masih awal dan muda. Tetapi lain halnya kalau dosa yang melibatkan manusia terutama ibu bapa mereka tangguhkan untuk meminta maaf pada hari raya. Agaknya mereka tahu bahawa umur mereka masih panjang.
Walau bagaimanapun Allah Yang Maha Pemurah dan Penyayang tidak mahu hambanya terus melakukan dosa. Oleh sebab itu Allah masih menawar pengampunan dan bersedia menerima taubat hambanya. Firman Allah SWT:
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah suka kepada orang yang bertaubat dan suka kepada orang yang membersihkan diri.” (Surah al-Baqarah : 222)
Tetapi pada hari ini berapa ramai yang melakukan dosa dan sanggup bertaubat dengan segera. Dalam penelitian saya ramai yang melakukan dosa tanpa henti seolah-olah mereka tidak tahu semua itu adalah dosa.
Antara Dosa dengan Allah:
1.    Menyekutukan Allah SWT dengan mana-mana makhluk (Syirik). Mereka bergantung harap dengan orang dan wang. Mereka lupa kepada Allah yang memberi rezeki. Inilah golongan syirik yang pada mereka adalah kecil.
2.    Meninggalkan solat fardu. Anak-anak remaja malah ada ibu bapa yang tidak kenal sejadah, apatah lagi masjid. Kalau sudah bekerja dan mendapat pendapatan sendiri, solat ditinggalkan sedikit demi sedikit sehingga akhirnya terlupa semua bacaannya. Padahal waktu di sekolah sudah mengahafalnya. Mereka tidak sedar bahawa itu juga adalah dosa besar.
3.    Tidak membayar zakat. Ahli perniagaan yang mengaut keuntungan berganda tidak pernah terfikir untuk mengeluarkan zakat mahupun berderma kepada orang susah. Pada mereka cukup dengan zakat fitrah setiap tahun sebelum syawal.
4.    Melakukan zina, bukan sahaja dalam kalangan remaja malah orang tua juga. Perbuatan ini adalah dosa besar.
5.    Homoseksual (hubungan sesama jantina) terjadi dalam masyarakat kita tanpa kawalan. Mereka ini tahu amalan songsang ini salah tetapi tetap melakukannya.
Antara dosa dengan manusia ialah:
1.    Melakukan perbuatan Sihir atau mempelajari ilmu sihir. Sehingga ke hari ini ada umat Islam yang mengamalkan sihir terutama peniaga atau pasangan yang cemburu kepada suaminya. Ketika melakukannya tidak menyedari yang dosa itu adalah dosa besar.
2.    Derhaka kepada kedua ibu bapa. Anak-anak sejak remaja lagi sudah tahun melawan ibu bapa, apatah lagi apabila hendak berkahwin terlupa untuk mengambil pandangan ibu bapa. Hakikatnya mereka derhaka kepada ibubapa tanpa sedar.
3.    Memutuskan hubungan silaturrahim. Antara adik beradik sudah ada yang tidak bertegur sapa hanya mungkin kerana sedikit salah faham. Perbuatan ini adalah dosa besar.
4.    Tidak menunaikan hak anak dan isteri. Suami atau ayah ini bukan miskin tetapi harta yang banyak itu disalahgunakan ke tempat yang haram.
5.    Membiarkan jiran kelaparan sedangkan dia kekenyangan. Inilah kehidupan lazim dalam masyarakat kita. Masalah jiran tidak dapat dikesan kerana perhungan yang longgar. Tetapi kita juga patut tahu mana jiran kita yang miskin untuk dibantu. Kita lupa tanggungjawab ini.
Sikap Orang Mukmin
Orang mukmin yang terbaik seperti yang digambarkan Rasulullah dalam hadis di atas, setiap kali melakukan dosa terus bertaubat daripada dosa tersebut. Sikap orang mukmin ini selaras dengan sifat Allah yang suka terhadap orang yang terus bertaubat. Oleh sebab itu orang mukmin tidak boleh bertangguh dalam bertaubat kerana demikian itu adalah sikap orang yang sombong iaitu sifat syaitan.
Sebenarnya, sebesar manapun dosa seseorang mukmin kalau dia mahu bertaubat kepada Allah pasti diterima oleh-Nya. Malah mereka yang bertaubat itu kedudukannya sama seperti tiada dosa lagi. Demikian dinyatakan oleh Rasulullah dalam hadisnya:
Maksudnya: “Sesungguhnya Nabi SAW berkata, penyesalan adalah taubat, dan orang yang bertaubat daripada dosanya sama seperti mereka yang tiada dosa.” (Riwayat Abu Naim al-Asbahani)
Berdasarkan hadis di atas, taubat amat mudah di sisi Allah iaitu cukup dengan rasa menyesal. Maknanya kalau seseorang itu kelihatan sangat menyesali perbuatannya sudah dikira bertaubat di sisi Allah. Cuma taubat itu perlu dilakukan bersungguh-sungguh seperti yang pernah diamalkan oleh nabi Adam dan nabi Yunus.
Nabi Adam a.s setelah diturunkan ke bumi, dia bertaubat selama 40 tahun dengan membaca doa:
Bermaksud: “Tuhan, kami telah melakukan kezaliman terhadap diri kami dan jika Engkau tidak mengampunkan kami nescaya kami tergolong dalam orang-orang yang rugi.”
Begitu juga dengan nabi Yunus a.s setelah dimasukkan ke dalam perut ikan, dia terus bertasbih beberapa kali seperti berikut:
Maksudnya: "Ya Allah, tiada Tuhan lain melainkan Engkau, Maha Suci Engkau sesungguhnya aku termasuk dalam orang yang zalim.” (Surah al-Ambia’: 87)
Syarat Taubat
Sungguhpun tanda taubat itu ialah penyesalan namun kesungguhan bertaubat itu perlu dibuktikan seperti yang diamalkan oleh para nabi di atas. Sesuai dengan itu maka para ulama telah menentukan beberapa syarat taubat yang harus dipatuhi:
1.     Menyesali diri di atas dosa-dosa yang telah lalu
2.     Menyucikan diri dan dosa dengan tidak lagi melakukan dosa yang sama.
3.     Berazam tidak akan melakukan dosa lagi, selagi hayat dikandung badan.
Ketiga-tiga syarat ini adakah untuk kesalahan hamba kepada Allah. Jika syarat ini dipenuhi oleh seseorang nescaya diampunkan dosa tersebut seperti firman Allah SWT yang bermaksud:
"Barangsiapa yang bertaubat sesudah melakukan kejahatan, laIu memilih jalan lurus, maka sesungguhnya Allah menerima taubatnya dan Tuhan itu maha pengasih lagi maha penyayang." (Surah aI-Maidah :39)
Walau bagaimanapun kalau seseorang itu melakukan dosa terhadap hamba Allah yang lain perlu ditambahkan satu syarat lagi iaitu meminta maaf daripadanya. Dan jika dosa itu melibatkan harta perlu diselesaikan dengan ganti rugi. Begitu juga kalau melibatkan hutang, perlulah diselesaikannya terlebih dahulu.
Malah jika kesalahan itu melibatkan jiwa atau nyawa hendaklah dilakukan qisas (hukuman menurut hukuman Islam) kecuali setelah dimaafkan walinya. Namun dia tetap wajib membayar diyah atau ganti rugi atau pampasan yang setimpal dengan kesalahannya.
Jelas di sini, apabila kesalahan itu melibatkan orang lain, kemaafan orang itu perlu diutamakan. Kemaafan mereka inilah yang menjadi ukuran pengampunan Allah dan seterusnya menerima taubatnya. Maknanya selagi seseorang itu tidak dimaafkan kesalahannya, Allah tidak menerima taubatnya walaupun tiga perkara di atas sudah dipenuhi.
Kedudukan Setelah Diterima Taubat
Berdasarkan hadis di atas, “…dan orang yang bertaubat daripada dosanya sama seperti mereka yang tiada dosa,” sekali lagi menyedarkan kita betapa Allah Maha Pengampun dan Maha Penerima Taubat. Sikap baik Allah ini harus disambut oleh umat Islam apatah lagi orang yang pernah melakukan dosa supaya segera bertaubat.
Berdasarkan itu seseorang yang sudah diterima taubatnya, mereka sudah dianggap bersih daripada dosa. Keadaan ini menjadikannya orang yang bebas merdeka sama seperti orang yang tidak berdosa. Mereka boleh mengatur kehidupan di dunia tanpa diganggu oleh orang lain. Walau bagaimanapun mereka harus memenuhkan aktiviti hariannya dengan perkara yang baik.
Cuma dalam keadaan ini, ramai juga umat Islam masih memberi persepsi yang buruk terhadap mereka. Padahal mereka sudah benar-benar berubah ke arah kebaikan, malah sudah bertaubat daripada maksiat. Tetapi mereka yang bertaubat itu masih dicop sebagai orang yang bersalah.
Sebagai contoh, orang yang bersalah yang telah dibebaskan daripada penjara, orang ramai masih memandang serong kepadanya. Sepatutnya diberi layanan sama seperti orang yang baik-baik. semoga dengan itu mereka boleh menjadi orang yang soleh dn solehah.
Keadaan yang sama berlaku kepada orang politik, hanya kerana dia musuh politiknya maka kesalahan mereka diungkit lagi sedangkan dosa itu telah lama berlalu. Segala kejahatan lama dimainkan seperti perkara baru lalu mengaibkannya di mata ramai. Sepatutnya mereka menerima baik perubahannya dan taubatnya kepada Allah. Kita hanya wajib menilai yang zahir.
Selain itu, seseorang yang telah bertaubat, dia dianggap bersih daripada dosa. Maka sesiapa yang menyebutkan dosanya lagi, mereka itu boleh dianggap sebagai menuduh orang baik melakukan dosa. Jika ini yang terjadi, maka orang yang menuduh itu dianggap sebagai tuduhan palsu. Mereka ini bukan sahaja berdosa tetapi diharamkan syurga untuk mereka.
Sebenarnya dalam ajaran Islam, kita wajib menutup aib orang lain walaupun kita mengetahui keaibannya. Dalam kes ini, kita yang menutup aib itu tidak dianggap bersyubahat dengan dosanya tetapi kita cuba menutup aibnya. Namun pada masa yang sama, kita wajib membetulkan kesilapan silamnya.
Percayalah kalau semua umat Islam boleh membuat perubahan dan bertaubat daripada dosa lampau Allah akan terima taubat itu dengan senang hati. Nanti dengan sebab itu Allah selamatkan umat Islam dan dunia ini daripada kehancuran.
Sumber : Ustaz Ahmad Baei Jaafar
http://baei.blogspot.com/

No comments:

Post a Comment